Sunday 19 May 2013

Tempat Itu..

Mungkin kerana hawa panas yang tak mahu pergi dari ruang kamar sempit ini buat nafas dia semakin sesak.Barangkali juga kerana musim kemarau sudah terlanjur berpanjangan,kampung itu menjadi sedikit tidak selesa dari bulan Mac hingga Ogos.

Kurang yang merasa selesa dan betah berada di rumah,namun untuk mencari hiburan di luar pula seumpama mencari takungan kolam di landai Sahara.Tak ada galeri seni,pusat beli belah,panggung wayang,kafe kafe dengan haruman segar kekopi yang melariskan jualan yang mampu dikunjungi.Kalau ada pun hiburan,tak lain tak bukan sebuah jam besar di tengah kota dan jam itu pula sudah rosak menurut kata orang selama 56 tahun.Jarum pendeknya berhenti terus di angka enam.Jarum panjangnya telah menghembuskan nafas yang terakhir di atas pangkuan nombor dua belas.Jarum saatnya pula telah lama berhijrah ,lari mengikut perempuan lain,entah ke mana.Mengikut kata seorang anak yang sedari tadi menarik hingus yang hampir masuk ke mulut,nanti masa hari kiamat,kejadian itu akan tepat pukul enam! Hati hati kawan!

Namun,penduduk di sini tak pernah risaukan semua itu.Mereka masih berbangga punyai muzium,dan muzium itu muzium paling hebat di seluruh dunia.Tidak ada yang dapat menandinginya.Muzium itu sekali gus zoo.Kawan,kamu pasti cemburu!

Di dalam muzium itu ada sebuah ruangan yang jika sesiapa ingin memasukinya perlu menanggalkan sandal dan mengucapkan salam,demi menghormati tombak dan lembing yang berkarat,tinggalan para pejunag entah dari mana.Terdapat beberapa wang kecil yang disisip ke dalam kotak di sebelah tombak dan lembing itu yang mana amat dipercayai si pendermanya akan awet muda dan mendapat jodoh.Anak anak kecil yang dengan tak sengaja mengusik tombak dan lembing pula diarahkan mengisap telunjuknya,agar tak beroleh mudarat.

Jika pandangan dilemparkan ke luar jendela pula,akan tampak haiwan haiwan berkeliaran.Itulah zoo.Setiap minggu tempat itu dipenuhi mereka yang ingin melihat kijang sakit kusta dan sudah nampak serupa benar dengan kambing.Seekor unta tua di sudut sana yang menderita sakit tibi.Tiap kali batuk,nyawanya hampir keluar dari badan.Ada kuda belang yang hanya memandang satu arah dari pagi sampai petang.Tak faham aku apa yang bercelaru dihatinya.Seekor orang utan uzur tidak bergigi dan secara tanpa segan silu mengorat itik gemuk di kolam seberang.Di sana pula duduk seekor singa tua penuh kurap yang nampak sangat membenci dirinya sendiri.

Disebalik semua itu,dia semakin mencintai tempat itu...

No comments:

Post a Comment