Sunday 19 May 2013

Dia 2


"Ah,usah bergurau lah bang,kita ni orang miskin.Orang miskin tak kenal makna kejutan." kata Si Isteri pada Si Suami.Sebentar tadi Si Suami mengatakan yang dia akan memberikan satu kejutan pada dirinya.
"Kejutan kejutan yang macam itu,kebiasaannya hak milik orang kaya kaya.Orang macam kita ni? Saban hari terkejut.Pergilah ke pasar kalau abang tak percaya."

Si Suami tahu benar maksud isterinya.Harga barangan lah yang selalu membuat mereka terkejut.

"Lama sudah kau minta" kata Si Suami dengan lembut.

Si Isteri kian ingin tahu.Waktu menghantar Si Suami ke halaman rumah lalu meletakkan bekas bekalan makanan di pemegang basikal,dia bertanya lagi namun Si Suami hanya tersenyum.

"Dah bertahun kau inginkan,baru sekarang dapat ku belikan,maaf ya." Si Suami perlahan meninggalkan halaman rumah dan membiarkan isterinya memikirkan tentang kejutan itu.Dia bahkan sudah lupa apa yang pernah dia minta dari suaminya.Enam belas tahun mereka sudah berumah tangga,ini pertama kali suaminya memberikan kejutan.Namun semuanya itu amat difahaminya.Semua hal dalam keluarganya amat sederhana,amat mudah diduga.Penghasilan yang tak seberapa hasil titik peluh suaminya mendulang bijih cukup buat mereka membeli beras untuk menyambung hidup beberapa hari.Tidak ada rahsia,tiada yang luar biasa,tidak ada harapan yang menggebu gebu.Tiba tiba,hari ini suaminya ingin memberikan kejutan!

Mereka berkenalan sewaktu sama sama remaja.Sewaktu sama sama mengaji Al Quran.Sejak mengenal Si Suami,dia tahu yang dia akan bahagia hidup dengan lelaki itu,meski dia juga faham ada suatu hal yang dia harus elakkan: minta dibelikan apa pun.Lelaki baik yang dia cintai itu hanya daripada keluarga pendulang timah.Si Isteri merasakan yang dia tidak perlu dibelikan apa apa.Dia telah mempunyai seorang suami yang dicintai dan itu lebih daripada cukup.Si Suami adalah hartanya yang paling berharga,melebihi apa pun.Lelaki itu amat penyayang pada dia dan anak anak.Itu harta terbesar di dalam dunia ini.

Tengahari itu,berhenti sebuah van di depan rumah.Dua lelaki turun dan mengangkat benda yang berbungkus dari van dan membawanya masuk ke dalam rumah.Si Isteri bertanya tanya.Mereka hanya diam tidak menjawab.

"Malam ini bukan kah ada pasar malam di pekan?." Hanya itu yang di katakan salah seorang daripada mereka pada Si Isteri sambil tersenyum.

Si Isteri memandang benda itu dengan gugup,tapi gembira.Pasti itulah kejutan yang dimaksudkan suaminya.Rupanya sungguh luar biasa pengaruh sesuatu kejutan itu.Sekarang dia faham mengapa orang orang kaya menyukai kejutan.Dia memberanikan dirinya melangkah perlahan mendekati bungkusan itu.Di depan benda itu jantungnya berdebar debar.Dia memejamkan mata dan mula membuka.Sejurus dia membuka matanya dan terkejut bukan kepalang melihat sesuatu yang berkilau: basikal baru!

Si Isteri terduduk.Dia tak menyangka basikal itu yang dihadiahkan suaminya sebagai kejutan.Bukan hanya kerana basikal itu akan menjadi benda paling mahal di rumah mereka,melainkan kerana dia memintanya hampir lima tahun lepas semasa beliau mengandungkan anaknya yang bongsu.

"Kalau anak ini lahir nanti,basikal kita tak cukup lagi nak bawa anak anak ke pasar malam."Itulah gurauannya kepada Si Suami yang hanya tersenyum ketika itu. Itu adalah kerana anak mereka akan menjadi empat,sedangkan mereka hanya ada 2 basikal buruk.Dia tak dapat menahan air matanya terharu mengenangkan suaminya menyimpan percakapannya itu bertahun tahun dan memegangnya sebagai satu permintaan.

Si Isteri tak sabar menunggu suaminya pulang.Dia ingin segera melihat suaminya membelok di hujung jalan sana,pulang ke rumah.Dia mahu mengatakan bahawa mulai saat itu mereka harus lebih sering memberi kejutan kerana kejutan sebegitu ternyata sangat indah.

Si Isteri gembira melihat seseorang berbasikal dengan laju.Jika orang itu,Ahmad,jiran sebelah rumah telah pulang,pasti suaminya akan segera menyusul.Namun Ahmad melencong menuju ke rumah Si Isteri dengan tergesa gesa.Buruh kasar itu langsung masuk dengan gementar mengatakan telah berlaku kemalangan.Si Suami tertimbun tanah runtuh.Si Isteri terpaku di tempatnya berdiri.Nafasnya tersekat.Ahmad memintanya ikut ke lombong.

Sesampainya di sana,Si Isteri mendengar orang berteriak panik dan menggunakan apa saja alat untuk menggali tanah yang menimbuni Si Suami.Para pelombong yang tak mempunyai cangkul menggali dengan tangan,secepat cepatnya.Si Isteri berlari dan bersama sama dengan mereka.Dia menggali tanah dengan tangan sambil teresak esak memanggil manggil Si Suami.Keadaan menjadi semakin sulit kerana hujan pula turun membasah tanpa belas kasihan.Tanah yang menimbuni Si Suami menjadi lumpur.Mereka sekarang bertarung dengan waktu.Jika terlewat,Si Suami pasti tidak tertolong.Si Isteri menggali seperti orang lupa diri sambil menangis,hingga berdarah hujung hujung jarinya.Dia tak putus putus berdoa agar Si Suami tertimbun dalam keadaan meniarap.Galian semakin dalam dan tiba tiba Si Isteri terlihat sesuatu.

"Ini tangannya ! Ini tangannya !"

Para pelombong segera menghambur ke arah tangan itu.Si Isteri gementar kerana tangan yang menjulur itu terbuka.Suaminya tertimbun dalam keadaan terlentang.Para pelombong cepat cepat menarik Si Suami.Ketika berjaya ditarik,tubuh kurus itu seakan tidak bertulang.Tubuhnya telah patah.Si Suami sudah tidak bergerak.Semuanya telah terlambat.

Si Isteri tersedu sedan.Dia bersimpuh di samping suaminya yang telah meninggal dunia.Dia mengangkat kepala suaminya ke atas pangkuannya.Kepala itu terkulai seakan ingin bersandar.Beliau membasuh wajah kesayangan hatinya itu dengan hujan yang turun,lalu tampak seraut wajah yang jernih dan sepasang mata yang jujur.Si Isteri mendakap lelaki penyayang itu seeratnya.

Kejutan itu juga terkadang merentap segala jiwa.

No comments:

Post a Comment