Sunday 19 May 2013

Dia 4


Dia lepas daripada mereka yang memburunya kerana mengambil keputusan nekad terjun dari tebing hulu sungai.Harapannya untuk selamat amat dia tahu ketika itu,namun mati dimakan buaya,mati terhantuk kepala ke batu di dasar sungai,mati lemas,jauh lebih baik daripada diperkosa dan dibunuh.Di tengah hutan itu,hukum tidak berlaku,tiada yang akan menolongnya.

Kepalanya terhempas di dasar sungai.Dia pengsan.Arus yang deras mengumbang ambingkannya sekaligus membuatnya terlepas daripada ancaman buaya.Dia terlonjak lonjak menuju ke hilir.Dia masih bernafas.

Ketika sedar,dia mendapati dirinya tersangkut di akar bakau.Rembulan kelam terpantul di atas sungai yang keruh.Dia bangkit dengan susah payah,compang camping.Kepalanya terluka dan darah merah mengalir.Dia terhincut hincut meninggalkan muara.

Sungguh mengerikan apa yang dia alami.Untuk beberapa hari dia tidak ada keberanian untuk keluar rumah.Dia tidak pernah menceritakan kejadian itu kepada sesiapa pun.Tidak juga kepada ibunya.Sejak itu,dia tidak boleh mendengar suara anjing menyalak.Jika mendengarnya,dia meresah ketakutan.Kejadian itu membuatkan dia trauma.Namun,di rumah pula dia dihadapkan pada pilihan yang amat sulit.Dia berusaha melupakan kejadian yang amat menakutkan seorang budak perempuan berusia 13 tahun itu.Dia perlu kembali melombong kerana dia,adik adik dan ibunya,sudah memasuki tahap terancam dengan kelaparan.

Suatu ketika,dalam perjalanan menuju tapak lombong,dia mendadak berhenti di muka warung kopi Pak Jabar.Dia tertegun disamping basikalnya.Tubuhnya gementar melihat wajah wajah lelaki jahat yang baru minggu lalu memburunya di hutan.Mereka mengelilingi seorang lelaki yang tampak amat disegani.Dia faham bahawa lelaki lelaki pemburunya itu adalah orang upahan lelaki itu.Dibenamkannya wajah lelaki itu ke dalam benaknya.Kemudian,setelah sekian lama menatap wajah lelaki itu,dia mendengar salakan belasan ekor anjing yang ganas,memekakkan telinganya.Padahal, tidak ada seekor pun anjing di situ.Dia ketakutan dan menutup telinganya dengan tangan sehingga basikalnya terjatuh.

Lelaki itu tidak menyedari seorang budak perempuan sedang memerhatikannya.Lelaki itu juga tidak menyedari bahawa pada saat itu mereka berdua telah tersedut ke dalam pusaran nasib yang sama,dan pada suatu ketika nanti, mereka akan berjumpa lagi,dan budak perempuan yang teraniaya itu sendiri akan membatalkan hasrat kejam lelaki itu daripada menjayakan cita cita besarnya.

No comments:

Post a Comment