Sunday 19 May 2013

Cikgu Umang II

Umang duduk melabuhkan punggungnya sementara menunggu waktu solat berkumandang.Dia baru sahaja selesai menghabiskan ubi kayu rebus itu sebagai mengalas perutnya.Dia kini sudah menjadi peribadi yang pesimistik pada sesuatu yang bernama kehidupan.Malah jauh sekali dirinya sekarang dengan makna sebuah perjuangan.

Dia sudah malas belajar.Hawa positif dalam tubuhnya hilang menguap dibawa hasutan hasutan deras lagi tajam.Untuk apa lagi memecahkan kepala mempelajari segala macam teori bagi mengukur bilangan tak terhingga jika yang terhidang baginya adalah kemungkinan kemungkinan bahawa dirinya sudah tidak mampu lagi melanjutkan pengajian akibat angkara dunia dan hukum kemiskinan itu sendiri.Apa lagi yang bisa diukur dari hasil jualan beberapa wang syiling perak daripada si pembeli.Buat apa bertegang urat berdebat di kelas bersabit dengan soal bahasa jika yang hanya tersisa kini hanya ruang sempit tempat dia berjualan kuih di tepi sungai.Apa yang bermain di benak akalnya adalah pepatah baru kepercayaannya yang bersangkutan dengan nasib diri : "ceritakan mimpimu,biar Tuhan boleh tertawa." Pandangannya dilempar ke arah sekumpulan manusia yang bergelak ketawa di kedai kopi warung Mak Inom.Mereka juga tidak menarik rasa perhatiannya.Seakan mereka bertanya,seakan mereka peduli,seakan mereka membantu? Ah,biarkan saja nasib itu mendatang kawan,hatinya sudah tunduk menyerah!

 Dari jauh,susuk tubuh yang menghampiri itu seakan Umang kenali.Terkocoh kocoh mengheret langkah seolah olah tidak sabar sabar mahu melantunkan bedalan amukan.Pak Said,kenalan arwah kedua ibu bapanya bercekak pinggang dihadapan susuk kecil itu. 

"Ternyata benar kau ada disini.Apa benar cerita yang aku dengar ni Umang? Keterlaluan kamu! Sangkamu kau siapa? Hanya tinggal berapa semester saja lagi? Di universiti yang keras persaingannya itu,apa kau fikir kau boleh menjaga kerusimu dengan bertindak sesuka hatimu?"
 
Suaranya nyata berat penuh sesal.Dia memang garang.Satu kampung di Pulau Penipah tahu dia memang keras.Namun mereka juga tahu yang sesungguhnya,dia seorang yang mengambil berat,caranya saja yang sebegitu lancang.

"Iya sudahlah berkabung mu itu.Sudah sudahlah menghempas diri dengan bersimpati dengan nasibmu itu. Mengapa kau Umang? Bosan kau belajar? Apa yang kau inginkan? Mengejar impimu hanya dengan berbasa basi menjual kuih? Umang,kau tahu,mengapa aku keras selama ini dengan kamu? Kerana aku tak mahu kamu terbuai dengan bermimpi. Jangan pernah kau ingat perjalanan kau untuk meraih mimpi mimpi kau itu akan mudah.Kalau nak mimipi yang tinggi tinggi,mimpilah.Tapi kau harus yakin dengan mimpi kau itu dan temukan jalan yang terbaik buat meraihnya.Jangan pernah juga kau berfikir,perjalanan menuju ke sana akan mulus Umang.Akan banyak rintangan di depan kau.Kau harus kuat menghadapinya.Umang,kau jangan hanya fikir tentang diri kau,ada beberapa orang yang luarbiasa pernah hadir dalam hidup kau.Walau kini mereka sudah tiada,tentu kau masih ingat berapa besar pengorbanan mereka.Mereka mengikat perut hanya untuk melihat kau berjaya.semua itu dilakukan hanya untuk kau Umang.Kau adalah kebanggan mereka.Begini mudah kau menidakkan jerih payah itu?"

Dia menatap wajah Umang.Geram. Marah,tidak faham. Macam ada satu kilatan kecewa,satu keluh kesakitan jauh ke dasar hatinya.Pak Said berpaling memandang jauh ke deretan pohon bakau.Diam.Perlahan,memandang semula wajah Umang,suaranya tersekat sekat.

"Tahukah kau,Umang? Sepanjang waktu aku bermimpi agar anakku duduk di kerusi universiti di bandar indah itu.Kerusi pelajar pelajar pintar.."

Umang terharu melihat mata Pak Said berkaca kaca.

"Dan kau,kau sia siakan penghormatan kerusi anak anak pintar itu.Mengapa kau berhenti bermimpi Umang?Mengapa kau berhenti bercita cita? Fahamkah kau,berhenti bercita cita adalah tragedi terbesar dalam fitrah kehidupan manusia!?"

Umang tunduk.Kata kata itu amat bermakna dan amat dalam menusuk tiap salur darahnya.

"Dapatkah kau bayangkan perasaan kedua ibu bapamu sekarang?"

Tika itu disebut Pak Said,Umang terus tersedar,sikapnya kebelakangan ini telah mengkhianatinya bulat bulat.Kecewa,yang terlalu dalam.Lemas ditikam rasa bersalah.

"Jangan jadi begini Umang.Anak yang tak mampu memenuhi harapan mereka!Tak tahukah kau Umang?Takkan ada yang lebih membahagiakan mereka selain melihat kau berjaya.Kau harapan mereka'.

Hatinya sakit,pedih sekali.Perlahan,seluruh air yang ada dalam tubuhnya berkumpul di kepala.

Air itu kemudian tumpah berlinangan melalui matanya.

No comments:

Post a Comment