Sunday 19 May 2013

Cikgu Umang

Satu satunya berita yang pernah melanda jiwa keras ayah waktu menerima surat daripada majikannya.Surat itu,pagi tadi di baca ibuku,sebab maklum sahaja betapa mengharukannya,pengetahuan ayah soal huruf huruf Latin.
Mendengar isi surat yang di baca,ayah yang amat pendiam,seperti biasa,tak berucap sepatah pun.Kutatap wajah sepi itu yang berusaha melemparkan senyum ke luar jendela dan puas ku cuba membaca maksud pandangan itu.Ya,ayah bagaikan tidak percaya dengan perkhabaran yang baru di dengar itu.Tak percaya! Setelah membanting tulang selama 35 tahun,ada juga orang yang membicarakan kewujudannya.Selama 35 tahun itulah dia tidak pernah terlintas untuk naik pangkat,tak pernah,sejak itulah dia menjadi buruh pada majikannya.Majikan yang selama itulah menindas keringatnya.Berkali kali ayah meneliti tanda tangan itu,benar basah tinta pena biru!
Selama ini ayah hanya merasa dirinya biasa naik basikal,untuk bisa sampai dari satu destinasi ke destinasi yang lain.Bisa naik pohon kelapa untuk membantu tugas beruk,tapi naik pangkat?Naik pangkat tak masuk dalam perbendaharaan kata ayah yang tak pernah punya sijil apa apa.Bagi ayah,naik pangkat itu kata kata ajaib orang orang atasan.
Ayah memalingkan senyumnya dari bingkai jendela padaku.Amboi! Inilah saat kutunggu tunggu sejak tadi.Dalam surat yang dibaca ibu,dinyatakan juga bahawa dengan kenaikan pangkat ayah,akan dilampirkan surat tunggakan gaji kerana kenaikan itu telah terjadi enam bulan lepas.Dengan senyum,ayah megeluarkan kata kata ajaib."Umang! nanti kita beli kuih apam balik kegemaran mu di Pasar Tani dan juga beg sekolah yang kau tak pernah ada itu!!"
Ibu pun terus berdehem dehem sambil melirik kebaya lusuhnya.Maksudnya begini:"Sudah tiga kali raya kebaya nyonya yang itu itu saja".Ayah membalas semuanya dengan senyuman paling menawan yang maksudnya pula begini: "Beres!!"Dengan senyum terakhir itu aku melonjak riang.Walaupun tunggakan gaji seorang kuli majikan di Pulau Penipah ini hanyalah sedikit cuma,namun padaku ayah juara seluruh dunia,raja pada segala arkitek kasih sayang yang tak pernah membicarakan apa kasih sayang itu sendiri.Wajah tua itu nyata mampu menggubah hal hal sederhana menjadi begitu mempersona.

Pagi indah itu,sesudah solat Subuh,ayah sudah sibuk berdandan dengan pakaian terbaiknya sepanjang zaman:busjaket empat poket.Untuk acara kenaikan pangkat!Aku juga mandi lebih awal dari biasa lalu dinaikkan ayah ke atas boncengan basikal.Ayah akan naik pangkat,senyum aku tanpa sedar.Wahai beg sekolah idamanku,kemarilah dikau ke pangkuan! Nyata indah bukan bukan buatan."Umang! ingatkan ayahmu itu,simpan wang nanti elok2,takut keciciran!"Senyum ibu juga seindah senyum aku dan ayah.Senyum yang terhias untuk beberapa hari sudah.
Sampai di tempat kerja ayah,ratusan kuli sudah berbaris panjang,berdiri berderet deret berdasarkan urutan abjad nama.Suasana riang gembira kerana akan naik pangkat dan menerima tunggakan gaji.Aku dan keluarga mereka menumpang bahagia.Mereka bersorak sorai tiap kali nama keluarganya dipanggil Tuan Penyelia.

Akhirnya ,sampai juga panggilan ke urutan nama J.Aku berdiri melambai lambai pada ayah seperti ketua kumpulan sorak.Satu persatu nama berawalan J dikumandangkan di mikrofon sampailah pada yang duduk di sebelah ayah.Dia sempat mengepalkan tinjunya tinggi tinggi kerana riang tak terkata.Setelah itu,ayah bersiap siap seperti pelari pecut hendak melepaskan diri.Namun,ayah terkejut kerana nama yang dipanggil berikutnya bukan nama ayah,tetapi nama orang yang disebelahnya.Ayah tertegun dan bingung.Orang yang disebelah ayah bersorak girang,melintasi ayah berlari ke pentas.Nama yang dipanggil selepas itu juga bukan nama ayah,demikian juga yang selepas itu.Ayah berkelip menyaksikan satu persatu rakan melewati kerusinya.Nama terus dipanggil,masih juga tak terdengar nama ayah.Sampai pada abjad yang berawalan dengan Z,nama ayah juga tiada.

Kesudahannya,tinggallah ayah berdiri bersendirian di baris kerusi.Menoleh ke kiri dan kanan,menyaksikan orang yang berbisik bisik sambil memandang susuk tubuh ayah.Ayah ku lihat bersahaja dan masih berdiri kalau kalau ada yang memanggil namanya.Sejurus itu pembesar suara dipadamkan.Baru ku lihat ayah tunduk sambil membetulkan poket busjaketnya.Aku tahu hatinya hancur.Dadaku sesak,bergetar menahan airmata.Tak tertanggung rasanya jiwaku melihat ayah.Tiba tiba ayah berjalan menuju rakan rakannya sambil menyalami mereka satu persatu mengucapkan selamat.Begitu besar jiwa manusia ini.Rakan rakannya sambil bergelak ketawa menepuk nepuk bahu ayah sambil secara perlahan,aku menjadi beku di tempatku berdiri.

Malamnya,Tuan Penyelia datang ke rumah memohon maaf dan memberitahu telah berlaku kekeliruan pada bahagian pentadbiran kerana terlalu ramai yang dinaikkan pangkat.Tuan Penyelia juga memberitahu bahawa peraturan syarikat ada menyebut bahawa kuli yang tak bersijil memang tak akan pernah naik pangkat.Ayah,dengan penuh rasa hormat menerima semua itu.Malah beliau masih mengucapkan terima kasih pada Tuan Penyelia kerana telah mengirimnya surat dengan cop terhormat dari syarikat dan Tuan Penyelia sendiri yang menandatanganinya.

Aku tak dapat menahan rasaku.Air mata berlinang saat mengintai ayah mengucapkan semua itu.Walau dari balik pintu,aku tahu makna ketulusan wajah ayah.Sungguh bening hati lelaki pendiam ini,dan pada detik itu aku berjanji pada diri sendiri untuk meletakkan ayah setinggi yang mungkin,dan juga aku bersumpah,aku bersumpah yang aku akan bersekolah setinggi tingginya,biar kemana sahaja akan aku turuti.Walau apa yang akan berlaku,semua itu hanya untuk seorang ayah.

No comments:

Post a Comment