Wednesday 29 May 2013

kau

weyyy...
kau asal tak faham faham?
asal tak nak faham langsung
yang aku sayang
yang aku cinta
kat kau?

teruk ar kau nih.

nota sebelum tidur II


aku seakan kehilangan arah
tatkala fikiran ku dihujani bunyi unggas
sekaligus bagaikan air terjun
bagaimana harus aku nyatakan
padaMu saat saat aku ingin berdoa?
tiap kali bila bayang bayang
bergerak menjauh
seakan ku terdengar suaraMu
Engkaukah yang mengetuk
tatkala angin menjurus masuk?
atau Engkau yang mengejutkan aku
dari tidur lena ku tadi?
dan perlahan menarik semula daun pintu

aku takkan lari dari impian hari tuaku
menggeliat bagai kucing bangun tidur!

Tuhan

cengkamlah aku dalam genggamMu. 

rindu kat kau


begitulah..
macam itu lah
kadang dia menjerit
menjeritkan suaranya yang tak pernah didengarnya sendiri
suara yang dimatangkan pengalaman
suara pilu insan yang kehilangan panca indera
tapi dia bukan eskapis
yang menjerit melulu
melepaskan perasaan

dalam sunyi
merakam segala peristiwa
kesepian dan kerinduan
dorongan serta berontak jiwa
dia rindukan bunyi
baginya
bunyi itu ajaib dan magis
dia tahu suara itu ada
hanya dia yang tak dapat mendengar
suara terluka..suara resah
begitu menduga
begitu menggoda

saat ini
aku rindu kau

sampai jumpa lagi. 

luka


macam siput
mengembara
tika air sedang surut
nasib tak kena pijak
aku mengembara
macam siput
dengan mulut
penuh lumpur
terkapar
begitu aku jadi nanar
dengan mulut terbuka
lidah terbakar

kau suka semua tu kan?luka

suka aku..


senja
adalah duri
mengcengkam
jari hari

senja
adalah jantung
merentap 
ke pintu nadi

senja
adalah bayang
tersungkur
ke hujung kaki

senja adalah
gumpalan gumpalan
ingatan
gumpalan gumpalan
kepedihan

duri
jantung
bayang
pedih

senja

itu aku.

nota aku sebelum tidur


engkau hujan tak mungkin melebat turun
tapi kenapa aku dengar dengunganmu
seperti jutaan lebah?

matahari kau sekarang sembunyi sebalik awan kan?
dan angin menderu

Engkaulah yang terbawa sedemikian banyak
kenangan menerpa
menyingkap sepi
letih

aku adalah lembaran nota yang tak tertulis.

Saturday 25 May 2013


Serius ar aku memang yakin kadang2 memang ada bayang2 sifar dalam hidup kita ni yang tak payah ar sangat kita nak selongkar bagai. Lantak kan dia kat situ.Duduk senyap2. Diam2.Tak payah kau sibuk2 nak tahu.Tak payah kau sibuk2 nak cari pasal..Biar ia tertutup rapat. Biar ia ketat tak dapat di buka oleh sesapa pun. Tak tembus walau cuba dibuka dan diecahkan. Kebal dari dihentam oleh misteri, kenangan, harapan, kesedihan, kegembiraan, sejarah dan apa sahaja. Biar ia hilang. Biar ia jadi kabus. Jadi terus kosong, tertanam dalam kepadatan rutin - rutin tuntutan kehidupan melalui dosa - dosa lampau atau upah dari kebodohan kehidupan diri kau sendiri. 

Ia memang diciptakan macam tu, yang sampai sudah, sampai bila2 pun kau takkan mampu cari jawapan apa ada dalam tu.  

ko memang lembik ar weyyy...

Monday 20 May 2013

Aku IV

Usah bergundah,duhai puteri
haruman pandan jauh di sana
antara syurga dan maknawi
hanya jasad,kulit dan isi
apalah dia habuk dunia
bila ditabur di laut fana
hidup ini sekadar cerita
menanti akhir bertemu raja

Usah bergundah,duhai puteri
cinta dunia hanya picisan
kelak bila yang benar tertegak
hilanglah batil,tenanglah insan
bila diri tergaul tanah
lerailah hijab,leburlah sudah
hati yang hidup tak akan mati
bila terisi cinta hakiki

Doa

Tuhanku..

teduhkanlah hatiku dan pagari aku dengan malaikatMu malam ini agar esok pagi aku bisa terbangun dengan damai.

 Amin..

Aku III

Apa bezanya
Mereka yang sesat
Dalam kepercayaannya
Dengan mereka
Yang percaya
Dalam kesesatannya?

Aku II

Malam Itu
Aku Menangis
Tiap Sedu
Baris Puisi
Tiap Titis
Serangkap
Penyesalan..

sepi

sepi itu aku,
berdiri pada muka pintu,
kiri aku takut,
kanan aku harap,
belakang amal zahirku,
depan apa yang menunggu.

sepi itu rindu,
rindu waktu itu,
membelai mengusap memeluk,
patah riuk pada pucuk,
jatuh melulu pada perdu,
aku jadi semalu.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah,Lagi Maha Pengasihani..

Ketenangan itu adalah satu perasaan yang indah.Terutama sekali bagi jiwa mereka yang memerlukannya.Kelegaan menghembus nafas yang panjang,setelah sekian lama memikul bebanan masa dan pengalaman.Cinta itu pula satu kesempurnaan yang suci.Ia bagaikan setitis embun yang sabar menunggu kedatangan sinaran mentari,agar dapat ia menghirup kehangatan cahayanya.Menyemarakkan semangat untuk menyerah walaupun itu akan bermaksud kemusnahan untuk dirinya sendiri.

Kehidupan harian telah mengajar kita untuk lali dari merasakan perasaan cinta itu.Kepesatan mana mana kota sekalipun yang sentiasa terkejar kejar menukarkan sifat insan,hanya untuk memenuhi kehendak warga intelek dan tuntutan modennya tamaddun ini.Cinta telah berjaya diolah olahkan dengan tujuan dan maksud tertentu,persis satu permainan nasib untuk si buta,tuli dan bisu.

Hanya dengan ketiadaan cinta itulah kita akan sedar akan keseimbangan yang mana telah ia anyamkan selama ini mengisi ruang kehidupan itu sendiri.Disitulah letaknya bukti kewujudannya.Dengan tiba tiba,ada satu kekosongan yang terbit jauh di lubuk hati.Disitulah duduknya cinta kawan.Disitulah letaknya kasih sayang.Disitu jugalah tempatnya Tuhan meletakkan harapanNya buat kemanusiaan.

Tanpa nafas,manusia akan mati.
Tanpa cinta,manusia akan mengalami kesukaran untuk hidup.

Tiada perkataan yang wujud untuk dapat kita ungkapkan rasa ketiadaan itu dengan lisan.Cinta itu suci kawan.Ia terbit dari senyuman yang Maha Mencipta.Mana mungkin sesuatu sesuci itu dapat dizahirkan dari lidah seorang insan yang fana.

Andai kita belum pernah mengalami perasaan ketiadaan itu,raikanlah dia kawan.Kerana cinta masih ada,yang sentiasa akan beserta dengan harapan dan cinta Ilahi.Malah,walaupun ada yang pernah merasakan ketiadaan itu,cinta yang Satu tak kan pernah putus.Kita masih bernafas kan? Kurniaan Sang Pencipta yang sebenar benarnya adalah kesedaran di atas cinta itu sendiri.

Kau faham kan semua tu kawan?

Sunday 19 May 2013

Iqra

aku..
sedang mengcungkil kelabu di dalam hitamputih..
hitamputih itu asas,
dari hitamputih kita cipta kelabu.
semua kita ada kelabu masing masing,
kita kumpul kelabu dalam hitamputih.
banyak ke kelabu kau?

Iqra..

hmm..

Hanya kerana seseorang terlihat kuat di hadapanmu, tak bererti dia akan begitu kuat ketika kehilanganmu.

Sesat Dalam Rindu


ku resah mencarimu dengan akal..
dan bersama sifat-sifat pinjaman,
Kau ku rasakan semakin menjauh..
tersesatlah aku dalam rindu..

ku satukan firasat mencari mu..
dan ku terlontar di penghujung alam,
Kau masih tidak dapat ku jejaki..
betapa malangnya nasib ku.

kerana Mu ku tinggalkan segalanya,
sendiri aku terpedaya..
punya akal dan firasat yang tidak ke mana,
hanya jalan yang sengsara..

zahir musnah bagi yang mimpi,
zahir ada rahsia menanti,
lalu ku selami di dalam diri..
dibawa arus nafas ku..
asal serah janji dahulu,
mula hidup pasti mula cinta..

Engkau kasih ada di sini,
Engkau kasih ada menanti..
Kau kasih aku jua kasih.

Hati Yang Rapuh


di hati kulakarkan sebuah impian..
yang aku namakan harapan,
apabila kutentukan arah serta tujuan,
rela kuhadapi cabaran.

jalan ke puncak itu beronak dan berliku,
menyukarkan pendakianku,
namun tetap kugagahi hati yang rapuh ini,
demi hasrat yang suci..

aku sangkakan harapan selembut impian,
yang menguliti tidur insan..
kiranya kehidupan, tidak sedemikian..
goyah hatiku oleh kenyataan.

tak harus kuturuti kelemahan diri,
tak daya bertahan diuji..
lalu aku mengumpulkan semula kekuatan,
berlandaskan keimanan.

Ya Allah... aku masih lagi berpegang teguh dengan taliMu meskipun terkadang, aku alpa...
ampunkan dosa-dosaku ya Allah... janganlah Kau membenciku...
ku sedar kini bahawa pabila ku berharap pada manusia, mereka hanya akan mengecewakan,
tetapi bila ku berharap kepadaMu... Kaulah yang Maha Pemurah, Pengasih dan Penyayang,
tak akan mengecewakanku...
aku redha dengan takdirMU.

Dia 6


Zulkifli rakan sekelasnya dulu.

Teringat dia pada satu perbualan antara dia dengan Zulkifli.Dia ditanya lagu apa yang dia mahu dengar ketika saat dia akan pergi meninggalkan dunia.

"Lagu yang menyenangkan." dia jawab, "mungkin yang menggembirakan juga." Tambah dia lagi kemudian.

Zulkifli pula beritahu dia tidak mahu sebarang kata kata dan lirik dalam lagu yang terakhir dalam hidupnya.Apa lagi kata semangat dan nasihat yang diperlukan jika sudah mahu pejamkan mata selama lamanya.

"Lagu ucap selamat tinggal." Zulkifli ketawa kecil.

Lalu mereka mula menyenaraikan lagu lagu terakhir yang mereka berdua mahu dengar saat meninggalkan dunia nanti,disalin semuanya ke dalam satu kertas renyuk.Mereka buat perjanjian,jika salah seorang daripada mereka ditakdirkan pergi dahulu,seorang lagi akan memperdengarkan lagu pilihan mereka saat itu tiba.Dengan syarat mereka tidak mati secara tiba tiba,seperti dipanah petir,kemalangan jalan raya,lemas di sungai atau jatuh dari menara tangki air.

"Nanti dulu," Zulkifli berkata, "mungkin lebih elok jika kita hanya mendengar bacaan ayat ayat suci kitab bila sudah hampir ajal kita." Dia berkata, "Okey" sambil tersenyum, "tapi macam mana kita nak tahu bila hari sehari sebelum hari ajal kita?"

Dua dua diam.

"Betul kata awak.Sekurang kurangnya ia satu idea yang romantik." kata Zulkifli sambil membuang kertas renyuk yang ditulis senarai lagu terakhirnya tadi.

Mereka berdua tersenyum.

Dia 5


Bagi dia dan ibunya,waktu adalah ubat.Meski telah lewat berbelas tahun,ibunya masih selalu teringat pada arwah ayahnya,seolah olah baru semalam suaminya mengatakan akan memberinya hadiah kejutan.Jika terkenang akan hal itu,ibunya berlinangan air mata.Hanya waktu yang sedikit demi sedikit dapat merawat sedihnya.

Ketika suaminya baru meninggal dulu,sering terdapat saudara mara yang menyarankan agar ibunya menikah sekali lagi demi menyara keempat empat anaknya.

"Ramai lagi duda dan anak teruna kat kampung ni," kata Pak Harun,sepupu ibunya.

"Rupa kau pun masih cantik dipandang."

Berulang kali Pak Harun menyarankan sebegitu.Namun dia berhenti berusaha selepas mendengar ibunya mengatakan:

"Run,aku hanya pernah kenal cinta sekali.Sekali sahaja.Hanya pada suamiku.Itulah cinta pertamaku,yang akan ku bawa sampai mati."

Ibunya sekarang menjadi perempuan tua yang tetap hidup dengan satu cinta untuk seorang lelaki meskipun lelaki itu sudah tidak ada.

Bagi dia pula,waktu juga yang mampu meredakan sesak yang dialami,mengenangkan masa remaja yang terhempas bersama ayunan cangkul sekuat tulang di ladang ladang lombong.Namun,waktu tidak mampu menghapus kerinduannya pada pelajaran Bahasa Inggeris dan perasaan senang yang penuh misteri pada Zulkifli,sahabat sekelasnya dahulu.

Mereka sering melihat dia terkejut di depan televisyen di balai desa menonton filem Barat.Dia duduk paling hadapan.Matanya tak berkelip,bukan menonton filem,melainkan melihat orang Barat bicara.Dia tidak pernah peduli pada cerita dan juga tak pernah peduli pada gagah dan cantiknya bintang bintang filem itu.Dia hanya tertarik melihat orang Barat berkata kata.Kadangkala dia tersenyum sendiri dan tanpa sedar mengulangi apa yang diucapkan bintang bintang itu.

Suatu ketika,secara tak sengaja,dia menemukan majalah berunsurkan remaja.Majalah itu terbentang sahaja di gerai ikan di pasar.Seseorang pasti telah meninggalkan majalah itu dengan sembarangan.Dia tergoda hendak membacanya.Di kolum sahabat pena,dia tertarik melihat seorang perempuan bertudung yang mencari kawan untuk berutus surat.Zaiton,itulah nama perempuan dari bandar itu.Dalam foto yang disisip,Zaiton nampak masih sangat muda.Yang membuat dia tertarik adalah keterangan bahawa Zaiton mengajar Bahasa Inggeris di sebuah sekolah rendah.

Sejak itu mereka menjadi sahabat pena yang setia.Dalam surat suratnya,keduanya saling bercerita tentang pengalaman masing masing,susah dan senang.Dia bercerita pada Zaiton tentang kesukaannya pada Bahasa Inggeris.Kerana itu,sesekali Zaitonmenyelitkan satu dua ayat dalam Bahasa Inggeris di dalam suratnya,namun kebanyakan kata kata itu tidak dimengerti oleh dia kerana dia bukanlah seseorang yang pintar.Dia bahkan tidak punya sijil berhenti sekolah rendah.Dia tidak fasih berbahasa Inggeris.Dia hanya sekadar mengagumi bahasa itu.

Dia sedang bekerja di lombong saat teringat akan surat terbaru daripada Zaiton.Surat yang sangat dia sukai,bukan hanya kerana mereka saling berkongsi kisah sedih,melainkan Zaiton,juga menulis sebuah perkataan baru yang menarik,yang sangat asing.Yang mengandungi dua huruf mati berurutan.

Dia melepaskan cangkul,lalu bergegas menuju pondok tempatnya melepaskan lelah.Diambilnya karung guni dan dikeluarkannya sebuah buku yang kusam.Jika dia menemukan sebuah perkataan Bahasa Inggeris yang baru,ditulisnya perkataan itu di dalam buku tersebut.Buku itu sudah macam kamus yang berisi pelbagai perkataan Bahasa Inggeris,dan sering menjadi bahan ketawa para pendulang yang lain.Sebuah buku,apalagi buku Bahasa Inggeris,memang sama sekali tidak kena untuk kehidupan para pendulang.

Dia berusaha mengingatkan perkataan baru daripada Zaiton itu.Dia merasa pasti bahawa perkataan itu awalnya huruf "w" dan berakhir dengan huruf "nd" seperti perkataan "second" yang dia sudah faham.Akhirnya,dia tersenyum kerana berhasil mengingatkannya,meski sama sekali tidak tahu apa maksudnya.Dengan pensel yang tumpul,dia menulis perkataan itu perlahan lahan.

"Wound."

Perlahan,hatinya seakan sayu dan sedih kerana rindunya pada pelajaran,sekolah,cikgu dan kawan kawan.Jiwanya menjadi lara pada semua itu.Kesayuan hakiki yang jika di fikir fikir, hanya akan membuatnya makin menderita!

Rasa rasanya dia ingin tidur, bangun jika hanya mendengar sangkakala hari kiamat.

Dia 4


Dia lepas daripada mereka yang memburunya kerana mengambil keputusan nekad terjun dari tebing hulu sungai.Harapannya untuk selamat amat dia tahu ketika itu,namun mati dimakan buaya,mati terhantuk kepala ke batu di dasar sungai,mati lemas,jauh lebih baik daripada diperkosa dan dibunuh.Di tengah hutan itu,hukum tidak berlaku,tiada yang akan menolongnya.

Kepalanya terhempas di dasar sungai.Dia pengsan.Arus yang deras mengumbang ambingkannya sekaligus membuatnya terlepas daripada ancaman buaya.Dia terlonjak lonjak menuju ke hilir.Dia masih bernafas.

Ketika sedar,dia mendapati dirinya tersangkut di akar bakau.Rembulan kelam terpantul di atas sungai yang keruh.Dia bangkit dengan susah payah,compang camping.Kepalanya terluka dan darah merah mengalir.Dia terhincut hincut meninggalkan muara.

Sungguh mengerikan apa yang dia alami.Untuk beberapa hari dia tidak ada keberanian untuk keluar rumah.Dia tidak pernah menceritakan kejadian itu kepada sesiapa pun.Tidak juga kepada ibunya.Sejak itu,dia tidak boleh mendengar suara anjing menyalak.Jika mendengarnya,dia meresah ketakutan.Kejadian itu membuatkan dia trauma.Namun,di rumah pula dia dihadapkan pada pilihan yang amat sulit.Dia berusaha melupakan kejadian yang amat menakutkan seorang budak perempuan berusia 13 tahun itu.Dia perlu kembali melombong kerana dia,adik adik dan ibunya,sudah memasuki tahap terancam dengan kelaparan.

Suatu ketika,dalam perjalanan menuju tapak lombong,dia mendadak berhenti di muka warung kopi Pak Jabar.Dia tertegun disamping basikalnya.Tubuhnya gementar melihat wajah wajah lelaki jahat yang baru minggu lalu memburunya di hutan.Mereka mengelilingi seorang lelaki yang tampak amat disegani.Dia faham bahawa lelaki lelaki pemburunya itu adalah orang upahan lelaki itu.Dibenamkannya wajah lelaki itu ke dalam benaknya.Kemudian,setelah sekian lama menatap wajah lelaki itu,dia mendengar salakan belasan ekor anjing yang ganas,memekakkan telinganya.Padahal, tidak ada seekor pun anjing di situ.Dia ketakutan dan menutup telinganya dengan tangan sehingga basikalnya terjatuh.

Lelaki itu tidak menyedari seorang budak perempuan sedang memerhatikannya.Lelaki itu juga tidak menyedari bahawa pada saat itu mereka berdua telah tersedut ke dalam pusaran nasib yang sama,dan pada suatu ketika nanti, mereka akan berjumpa lagi,dan budak perempuan yang teraniaya itu sendiri akan membatalkan hasrat kejam lelaki itu daripada menjayakan cita cita besarnya.

Dia 3


Bersemangat selepas mendapatkan timahnya yang pertama,dia semakin giat bekerja.Dia tidak tahu,di pasar,dibalik gelapnya subuh,lelaki lelaki bermata jahat di tempat penimbang itu telah bersiap sedia untuk mengikutnya.Mereka ingin mengintai lokasi dia mendapat timah.Sudah ku katakan kawan,pekerjaan ini bukan main main.

Dia melintas dengan riang sambil bernyanyi kecil.Lima lelaki di belakang menjaga jarak dengan cermat dan berbasikal diam diam di belakangnya.Di luar kampung,dia memasuki lorong menuju hutan.Kelima lima lelaki itu berpecah haluan.

Siang itu,ketika sedang menggali tanah,dia mendengar salakan anjing.Dia berpaling dan terkejut melihat beberapa lelaki mengejarnya dari pinggir hutan sambil mengacungkan parang,panah dan senapang buatan sendiri.Mereka berteriak mengancam dan melepaskan tali yang mengekang leher belasan ekor anjing pemburu.

Dia sedar yang dia mungkin telah memasuki tanah orang.Dia maklum bahaya yang menunggunya kini.Dia berlari menyelamatkan diri.Melihatnya lari,lelaki lelaki itu makin bernafsu mengejarnya.Mereka mengacu senapang buatan mereka sendiri lalu menembaknya.Dia pontang panting meredah semak belukar.Dia panik mendengar letusan senjata yang berdesing desing mendekatinya.

Salakan anjing meraung raung.Dia diburu seperti pelanduk.Dia berlari sekuat tenaga kerana takut diperkosa dan dibunuh.Dia tidak memperdulikan kaki telanjangnya yang berdarah kerana duri dan pokok kayu yang tajam.Malangnya dia tidak dapat berlari lebih jauh kerana di depannya terhidang tebing yang curam.Di bawah tebing itu mengalir sungai yang berjeram jeram.Dia menoleh ke belakang.Anjing anjing pemburu sudah dekat.Dia berlari menuju tebing dan tanpa ragu dia meloncat.Tubuh kecilnya melayang,lalu berdentum di permukaan sungai.Dia tenggelam bak batu,tidak muncul lagi.

Dia 2


"Ah,usah bergurau lah bang,kita ni orang miskin.Orang miskin tak kenal makna kejutan." kata Si Isteri pada Si Suami.Sebentar tadi Si Suami mengatakan yang dia akan memberikan satu kejutan pada dirinya.
"Kejutan kejutan yang macam itu,kebiasaannya hak milik orang kaya kaya.Orang macam kita ni? Saban hari terkejut.Pergilah ke pasar kalau abang tak percaya."

Si Suami tahu benar maksud isterinya.Harga barangan lah yang selalu membuat mereka terkejut.

"Lama sudah kau minta" kata Si Suami dengan lembut.

Si Isteri kian ingin tahu.Waktu menghantar Si Suami ke halaman rumah lalu meletakkan bekas bekalan makanan di pemegang basikal,dia bertanya lagi namun Si Suami hanya tersenyum.

"Dah bertahun kau inginkan,baru sekarang dapat ku belikan,maaf ya." Si Suami perlahan meninggalkan halaman rumah dan membiarkan isterinya memikirkan tentang kejutan itu.Dia bahkan sudah lupa apa yang pernah dia minta dari suaminya.Enam belas tahun mereka sudah berumah tangga,ini pertama kali suaminya memberikan kejutan.Namun semuanya itu amat difahaminya.Semua hal dalam keluarganya amat sederhana,amat mudah diduga.Penghasilan yang tak seberapa hasil titik peluh suaminya mendulang bijih cukup buat mereka membeli beras untuk menyambung hidup beberapa hari.Tidak ada rahsia,tiada yang luar biasa,tidak ada harapan yang menggebu gebu.Tiba tiba,hari ini suaminya ingin memberikan kejutan!

Mereka berkenalan sewaktu sama sama remaja.Sewaktu sama sama mengaji Al Quran.Sejak mengenal Si Suami,dia tahu yang dia akan bahagia hidup dengan lelaki itu,meski dia juga faham ada suatu hal yang dia harus elakkan: minta dibelikan apa pun.Lelaki baik yang dia cintai itu hanya daripada keluarga pendulang timah.Si Isteri merasakan yang dia tidak perlu dibelikan apa apa.Dia telah mempunyai seorang suami yang dicintai dan itu lebih daripada cukup.Si Suami adalah hartanya yang paling berharga,melebihi apa pun.Lelaki itu amat penyayang pada dia dan anak anak.Itu harta terbesar di dalam dunia ini.

Tengahari itu,berhenti sebuah van di depan rumah.Dua lelaki turun dan mengangkat benda yang berbungkus dari van dan membawanya masuk ke dalam rumah.Si Isteri bertanya tanya.Mereka hanya diam tidak menjawab.

"Malam ini bukan kah ada pasar malam di pekan?." Hanya itu yang di katakan salah seorang daripada mereka pada Si Isteri sambil tersenyum.

Si Isteri memandang benda itu dengan gugup,tapi gembira.Pasti itulah kejutan yang dimaksudkan suaminya.Rupanya sungguh luar biasa pengaruh sesuatu kejutan itu.Sekarang dia faham mengapa orang orang kaya menyukai kejutan.Dia memberanikan dirinya melangkah perlahan mendekati bungkusan itu.Di depan benda itu jantungnya berdebar debar.Dia memejamkan mata dan mula membuka.Sejurus dia membuka matanya dan terkejut bukan kepalang melihat sesuatu yang berkilau: basikal baru!

Si Isteri terduduk.Dia tak menyangka basikal itu yang dihadiahkan suaminya sebagai kejutan.Bukan hanya kerana basikal itu akan menjadi benda paling mahal di rumah mereka,melainkan kerana dia memintanya hampir lima tahun lepas semasa beliau mengandungkan anaknya yang bongsu.

"Kalau anak ini lahir nanti,basikal kita tak cukup lagi nak bawa anak anak ke pasar malam."Itulah gurauannya kepada Si Suami yang hanya tersenyum ketika itu. Itu adalah kerana anak mereka akan menjadi empat,sedangkan mereka hanya ada 2 basikal buruk.Dia tak dapat menahan air matanya terharu mengenangkan suaminya menyimpan percakapannya itu bertahun tahun dan memegangnya sebagai satu permintaan.

Si Isteri tak sabar menunggu suaminya pulang.Dia ingin segera melihat suaminya membelok di hujung jalan sana,pulang ke rumah.Dia mahu mengatakan bahawa mulai saat itu mereka harus lebih sering memberi kejutan kerana kejutan sebegitu ternyata sangat indah.

Si Isteri gembira melihat seseorang berbasikal dengan laju.Jika orang itu,Ahmad,jiran sebelah rumah telah pulang,pasti suaminya akan segera menyusul.Namun Ahmad melencong menuju ke rumah Si Isteri dengan tergesa gesa.Buruh kasar itu langsung masuk dengan gementar mengatakan telah berlaku kemalangan.Si Suami tertimbun tanah runtuh.Si Isteri terpaku di tempatnya berdiri.Nafasnya tersekat.Ahmad memintanya ikut ke lombong.

Sesampainya di sana,Si Isteri mendengar orang berteriak panik dan menggunakan apa saja alat untuk menggali tanah yang menimbuni Si Suami.Para pelombong yang tak mempunyai cangkul menggali dengan tangan,secepat cepatnya.Si Isteri berlari dan bersama sama dengan mereka.Dia menggali tanah dengan tangan sambil teresak esak memanggil manggil Si Suami.Keadaan menjadi semakin sulit kerana hujan pula turun membasah tanpa belas kasihan.Tanah yang menimbuni Si Suami menjadi lumpur.Mereka sekarang bertarung dengan waktu.Jika terlewat,Si Suami pasti tidak tertolong.Si Isteri menggali seperti orang lupa diri sambil menangis,hingga berdarah hujung hujung jarinya.Dia tak putus putus berdoa agar Si Suami tertimbun dalam keadaan meniarap.Galian semakin dalam dan tiba tiba Si Isteri terlihat sesuatu.

"Ini tangannya ! Ini tangannya !"

Para pelombong segera menghambur ke arah tangan itu.Si Isteri gementar kerana tangan yang menjulur itu terbuka.Suaminya tertimbun dalam keadaan terlentang.Para pelombong cepat cepat menarik Si Suami.Ketika berjaya ditarik,tubuh kurus itu seakan tidak bertulang.Tubuhnya telah patah.Si Suami sudah tidak bergerak.Semuanya telah terlambat.

Si Isteri tersedu sedan.Dia bersimpuh di samping suaminya yang telah meninggal dunia.Dia mengangkat kepala suaminya ke atas pangkuannya.Kepala itu terkulai seakan ingin bersandar.Beliau membasuh wajah kesayangan hatinya itu dengan hujan yang turun,lalu tampak seraut wajah yang jernih dan sepasang mata yang jujur.Si Isteri mendakap lelaki penyayang itu seeratnya.

Kejutan itu juga terkadang merentap segala jiwa.

Dia

Dengan jemarinya yang halus,dia belajar mengenggam gagang cangkul.Ditariknya nafas dalam dalam,digigitnya kuat kuat hujung tudungnya,buat mengumpulkan segenap tenaga kecil miliknya.Diangkatnya cangkul dewasa itu,lalu membantingnya ke tanah yang liat.Lumpur pekat menghentam wajah tanpa belas.Begitu berulang ulang,berkali kali,hingga menggelupas telapak tangannya.Dia mendulang timah sampai terbongkok bongkok.Terhuyung hayang tidak kuat menahan beratnya beban dulang.

Kerasnya nasib.Sedari pagi dia berkubang,setiap kali pasir menepi di bibir dulang,yang tampak hanya kerikil,zirkon,dan batu yang tidak bernilai,sebiji timah pun tak menghendap.Demikian hari demi hari pasir dan cangkul menipunya.Tebing danau itu,perlahan namun pasti,mulai mengkhianatinya.

Seorang perempuan mendulang timah adalah hal yang tak mudah diterima di kampung itu.Itu pekerjaan lelaki,bahkan timah itu sendiri adalah seorang lelaki.Cangkul dan lombong juga lelaki.

Dia terus menjadi bahan umpatan dan olok olok lantaran tidak mendapat timah.Meski dihina,dia tidak mahu berhenti kerana dia bertekad mengembalikan adik adiknya ke sekolah.Dia tak boleh berhenti kerana jika dia berhenti,keluarganya tak makan.Gadis kecil itu terhumban kepada satu pilihan sahaja.Kerja kasar tanpa belas kasihan hingga denyut nafas terakhir.Perlahan lahan,nasib yang menumbuknya bertubi tubi,mengkristalkan mentalnya.

Saat lelah,dia membuka Kamus Inggeris peninggalan ayahnya.Aneh,kamus itu umpama azimat meledakkan semangatnya.Sering dia menanda kata yang sangat asing baginya,yang tak sempat di ajar cikgu disekolah.Dia terleka dengan indahnya kata kata hebat dengan erti yang menakjubkan.Sacrifice,Honesty dan Freedom.Pengorbanan,kejujuran dan kemerdekaan.Erti yang mewakili jeritan batinnya.Berkorban untuk keluarga,berdoa menjadi insan yang jujur dan memerdekakan diri daripada kesedihan.

Disimpan kata kata itu di dalam hati.Diperamnya rasa indah itu di sanubari.Dia mengikat janji dengan tiga makhluk Inggeris itu.Satu hari nanti,dia ingin berjumpa dengan mereka pada satu temujanji yang manis.Itulah iltizam terindah Sang Pemimpi. Disimpannya diam diam.

Lokasi melombong adalah tanah perebutan yang selalu menimbulkan ribut,malah pertumpahan darah.Isu sensitif.Jika petani bergantung pada apa yang ditanam,pelombong bergantung pada tanah yang dikuasai.Mereka yang ngeri pada ancaman kelaparan dan esak tangis anak isteri di rumah,menguasai tanah seperti kadar orang hilang akal tahap tiga.Selalu menghasilkan perang dingin yang amat membahayakan.Akhirnya,tidak mahu mengambil risiko,dia masuk ke dalam hutan,yang pada anggapannya tak dikuasai sesiapa pun.

Dia membanting cangkul beratus ratus kali pada lumpur yang membakar segala jiwa dan semangatnya.Sacrifice,Honesty,Freedom! Itu yang dilaung berkali kali tiap kali cangkul dihayun.Dia terkejut bila akhirnya dia melihat serpihan tanah berwarna hitam.Perlahan digenggamnya tanah itu.Air dan pasir meleleh disela jarinya.Dia terbeliak kerana menyedari hukum kimia yang sederhana,air tidak dapat membawa zat logam kerana itu lebih berat daripada pasir.Digenggamnya lagi sekepal tanah,dibiarnya air dan pasir meleleh di celah jemarinya lagi.Diangkatnya lagi tinggi tinggi hingga jatuh di wajahnya.Timah!

Dia melompat girang.Tidak seperti pendulang lelaki lain yang memikul sekarung timah,dia hanya membawa setin susu kecil,namun cukup untuk membeli bekalan beras.Tanpa banyak soal,dia menerima segenggam wang daripada bekerja membanting tulang berhari hari.

Dia bangga tak terkira.Dia membeli beras.Semangatnya meluap luap kerana buat pertama kalinya,dia berasa mampu berbuat sesuatu untuk ibu dan adik adiknya di rumah.Sepanjang perjalanan pulang,sambil mengayuh basikal dengan laju agar cepat sampai,air matanya mengalir.

Mengalir tak henti henti.

Tempat Itu..

Mungkin kerana hawa panas yang tak mahu pergi dari ruang kamar sempit ini buat nafas dia semakin sesak.Barangkali juga kerana musim kemarau sudah terlanjur berpanjangan,kampung itu menjadi sedikit tidak selesa dari bulan Mac hingga Ogos.

Kurang yang merasa selesa dan betah berada di rumah,namun untuk mencari hiburan di luar pula seumpama mencari takungan kolam di landai Sahara.Tak ada galeri seni,pusat beli belah,panggung wayang,kafe kafe dengan haruman segar kekopi yang melariskan jualan yang mampu dikunjungi.Kalau ada pun hiburan,tak lain tak bukan sebuah jam besar di tengah kota dan jam itu pula sudah rosak menurut kata orang selama 56 tahun.Jarum pendeknya berhenti terus di angka enam.Jarum panjangnya telah menghembuskan nafas yang terakhir di atas pangkuan nombor dua belas.Jarum saatnya pula telah lama berhijrah ,lari mengikut perempuan lain,entah ke mana.Mengikut kata seorang anak yang sedari tadi menarik hingus yang hampir masuk ke mulut,nanti masa hari kiamat,kejadian itu akan tepat pukul enam! Hati hati kawan!

Namun,penduduk di sini tak pernah risaukan semua itu.Mereka masih berbangga punyai muzium,dan muzium itu muzium paling hebat di seluruh dunia.Tidak ada yang dapat menandinginya.Muzium itu sekali gus zoo.Kawan,kamu pasti cemburu!

Di dalam muzium itu ada sebuah ruangan yang jika sesiapa ingin memasukinya perlu menanggalkan sandal dan mengucapkan salam,demi menghormati tombak dan lembing yang berkarat,tinggalan para pejunag entah dari mana.Terdapat beberapa wang kecil yang disisip ke dalam kotak di sebelah tombak dan lembing itu yang mana amat dipercayai si pendermanya akan awet muda dan mendapat jodoh.Anak anak kecil yang dengan tak sengaja mengusik tombak dan lembing pula diarahkan mengisap telunjuknya,agar tak beroleh mudarat.

Jika pandangan dilemparkan ke luar jendela pula,akan tampak haiwan haiwan berkeliaran.Itulah zoo.Setiap minggu tempat itu dipenuhi mereka yang ingin melihat kijang sakit kusta dan sudah nampak serupa benar dengan kambing.Seekor unta tua di sudut sana yang menderita sakit tibi.Tiap kali batuk,nyawanya hampir keluar dari badan.Ada kuda belang yang hanya memandang satu arah dari pagi sampai petang.Tak faham aku apa yang bercelaru dihatinya.Seekor orang utan uzur tidak bergigi dan secara tanpa segan silu mengorat itik gemuk di kolam seberang.Di sana pula duduk seekor singa tua penuh kurap yang nampak sangat membenci dirinya sendiri.

Disebalik semua itu,dia semakin mencintai tempat itu...

Cikgu Umang II

Umang duduk melabuhkan punggungnya sementara menunggu waktu solat berkumandang.Dia baru sahaja selesai menghabiskan ubi kayu rebus itu sebagai mengalas perutnya.Dia kini sudah menjadi peribadi yang pesimistik pada sesuatu yang bernama kehidupan.Malah jauh sekali dirinya sekarang dengan makna sebuah perjuangan.

Dia sudah malas belajar.Hawa positif dalam tubuhnya hilang menguap dibawa hasutan hasutan deras lagi tajam.Untuk apa lagi memecahkan kepala mempelajari segala macam teori bagi mengukur bilangan tak terhingga jika yang terhidang baginya adalah kemungkinan kemungkinan bahawa dirinya sudah tidak mampu lagi melanjutkan pengajian akibat angkara dunia dan hukum kemiskinan itu sendiri.Apa lagi yang bisa diukur dari hasil jualan beberapa wang syiling perak daripada si pembeli.Buat apa bertegang urat berdebat di kelas bersabit dengan soal bahasa jika yang hanya tersisa kini hanya ruang sempit tempat dia berjualan kuih di tepi sungai.Apa yang bermain di benak akalnya adalah pepatah baru kepercayaannya yang bersangkutan dengan nasib diri : "ceritakan mimpimu,biar Tuhan boleh tertawa." Pandangannya dilempar ke arah sekumpulan manusia yang bergelak ketawa di kedai kopi warung Mak Inom.Mereka juga tidak menarik rasa perhatiannya.Seakan mereka bertanya,seakan mereka peduli,seakan mereka membantu? Ah,biarkan saja nasib itu mendatang kawan,hatinya sudah tunduk menyerah!

 Dari jauh,susuk tubuh yang menghampiri itu seakan Umang kenali.Terkocoh kocoh mengheret langkah seolah olah tidak sabar sabar mahu melantunkan bedalan amukan.Pak Said,kenalan arwah kedua ibu bapanya bercekak pinggang dihadapan susuk kecil itu. 

"Ternyata benar kau ada disini.Apa benar cerita yang aku dengar ni Umang? Keterlaluan kamu! Sangkamu kau siapa? Hanya tinggal berapa semester saja lagi? Di universiti yang keras persaingannya itu,apa kau fikir kau boleh menjaga kerusimu dengan bertindak sesuka hatimu?"
 
Suaranya nyata berat penuh sesal.Dia memang garang.Satu kampung di Pulau Penipah tahu dia memang keras.Namun mereka juga tahu yang sesungguhnya,dia seorang yang mengambil berat,caranya saja yang sebegitu lancang.

"Iya sudahlah berkabung mu itu.Sudah sudahlah menghempas diri dengan bersimpati dengan nasibmu itu. Mengapa kau Umang? Bosan kau belajar? Apa yang kau inginkan? Mengejar impimu hanya dengan berbasa basi menjual kuih? Umang,kau tahu,mengapa aku keras selama ini dengan kamu? Kerana aku tak mahu kamu terbuai dengan bermimpi. Jangan pernah kau ingat perjalanan kau untuk meraih mimpi mimpi kau itu akan mudah.Kalau nak mimipi yang tinggi tinggi,mimpilah.Tapi kau harus yakin dengan mimpi kau itu dan temukan jalan yang terbaik buat meraihnya.Jangan pernah juga kau berfikir,perjalanan menuju ke sana akan mulus Umang.Akan banyak rintangan di depan kau.Kau harus kuat menghadapinya.Umang,kau jangan hanya fikir tentang diri kau,ada beberapa orang yang luarbiasa pernah hadir dalam hidup kau.Walau kini mereka sudah tiada,tentu kau masih ingat berapa besar pengorbanan mereka.Mereka mengikat perut hanya untuk melihat kau berjaya.semua itu dilakukan hanya untuk kau Umang.Kau adalah kebanggan mereka.Begini mudah kau menidakkan jerih payah itu?"

Dia menatap wajah Umang.Geram. Marah,tidak faham. Macam ada satu kilatan kecewa,satu keluh kesakitan jauh ke dasar hatinya.Pak Said berpaling memandang jauh ke deretan pohon bakau.Diam.Perlahan,memandang semula wajah Umang,suaranya tersekat sekat.

"Tahukah kau,Umang? Sepanjang waktu aku bermimpi agar anakku duduk di kerusi universiti di bandar indah itu.Kerusi pelajar pelajar pintar.."

Umang terharu melihat mata Pak Said berkaca kaca.

"Dan kau,kau sia siakan penghormatan kerusi anak anak pintar itu.Mengapa kau berhenti bermimpi Umang?Mengapa kau berhenti bercita cita? Fahamkah kau,berhenti bercita cita adalah tragedi terbesar dalam fitrah kehidupan manusia!?"

Umang tunduk.Kata kata itu amat bermakna dan amat dalam menusuk tiap salur darahnya.

"Dapatkah kau bayangkan perasaan kedua ibu bapamu sekarang?"

Tika itu disebut Pak Said,Umang terus tersedar,sikapnya kebelakangan ini telah mengkhianatinya bulat bulat.Kecewa,yang terlalu dalam.Lemas ditikam rasa bersalah.

"Jangan jadi begini Umang.Anak yang tak mampu memenuhi harapan mereka!Tak tahukah kau Umang?Takkan ada yang lebih membahagiakan mereka selain melihat kau berjaya.Kau harapan mereka'.

Hatinya sakit,pedih sekali.Perlahan,seluruh air yang ada dalam tubuhnya berkumpul di kepala.

Air itu kemudian tumpah berlinangan melalui matanya.

Merpati Putih..

merpati putih,
janganlah berlegar di sekitar awan,
turunlah engkau meskipun sebentar di bumi yang gersang,
ku ingin mendengar ceritamu,
adakah berita yang gembira,
kau bawa kepada dunia serta penghuninya yang terlalu lama,
menantikan khabar darimu,
tentang kedamaian untuk semua..

merpati putih,
kau adalah lambang kedamaian dunia,
namun mengapa sejak bumi ini dilanda gegaran,
sayapmu kau kibar,kau pun terbang,
menjauh seolah enggan lagi,
kembali pada bumi ini yang semakin hampir pada kehancuran,
oleh tangan tangan yang kejam,
singgahlah merpati demi kami,
pencinta damai...

Cikgu Umang

Satu satunya berita yang pernah melanda jiwa keras ayah waktu menerima surat daripada majikannya.Surat itu,pagi tadi di baca ibuku,sebab maklum sahaja betapa mengharukannya,pengetahuan ayah soal huruf huruf Latin.
Mendengar isi surat yang di baca,ayah yang amat pendiam,seperti biasa,tak berucap sepatah pun.Kutatap wajah sepi itu yang berusaha melemparkan senyum ke luar jendela dan puas ku cuba membaca maksud pandangan itu.Ya,ayah bagaikan tidak percaya dengan perkhabaran yang baru di dengar itu.Tak percaya! Setelah membanting tulang selama 35 tahun,ada juga orang yang membicarakan kewujudannya.Selama 35 tahun itulah dia tidak pernah terlintas untuk naik pangkat,tak pernah,sejak itulah dia menjadi buruh pada majikannya.Majikan yang selama itulah menindas keringatnya.Berkali kali ayah meneliti tanda tangan itu,benar basah tinta pena biru!
Selama ini ayah hanya merasa dirinya biasa naik basikal,untuk bisa sampai dari satu destinasi ke destinasi yang lain.Bisa naik pohon kelapa untuk membantu tugas beruk,tapi naik pangkat?Naik pangkat tak masuk dalam perbendaharaan kata ayah yang tak pernah punya sijil apa apa.Bagi ayah,naik pangkat itu kata kata ajaib orang orang atasan.
Ayah memalingkan senyumnya dari bingkai jendela padaku.Amboi! Inilah saat kutunggu tunggu sejak tadi.Dalam surat yang dibaca ibu,dinyatakan juga bahawa dengan kenaikan pangkat ayah,akan dilampirkan surat tunggakan gaji kerana kenaikan itu telah terjadi enam bulan lepas.Dengan senyum,ayah megeluarkan kata kata ajaib."Umang! nanti kita beli kuih apam balik kegemaran mu di Pasar Tani dan juga beg sekolah yang kau tak pernah ada itu!!"
Ibu pun terus berdehem dehem sambil melirik kebaya lusuhnya.Maksudnya begini:"Sudah tiga kali raya kebaya nyonya yang itu itu saja".Ayah membalas semuanya dengan senyuman paling menawan yang maksudnya pula begini: "Beres!!"Dengan senyum terakhir itu aku melonjak riang.Walaupun tunggakan gaji seorang kuli majikan di Pulau Penipah ini hanyalah sedikit cuma,namun padaku ayah juara seluruh dunia,raja pada segala arkitek kasih sayang yang tak pernah membicarakan apa kasih sayang itu sendiri.Wajah tua itu nyata mampu menggubah hal hal sederhana menjadi begitu mempersona.

Pagi indah itu,sesudah solat Subuh,ayah sudah sibuk berdandan dengan pakaian terbaiknya sepanjang zaman:busjaket empat poket.Untuk acara kenaikan pangkat!Aku juga mandi lebih awal dari biasa lalu dinaikkan ayah ke atas boncengan basikal.Ayah akan naik pangkat,senyum aku tanpa sedar.Wahai beg sekolah idamanku,kemarilah dikau ke pangkuan! Nyata indah bukan bukan buatan."Umang! ingatkan ayahmu itu,simpan wang nanti elok2,takut keciciran!"Senyum ibu juga seindah senyum aku dan ayah.Senyum yang terhias untuk beberapa hari sudah.
Sampai di tempat kerja ayah,ratusan kuli sudah berbaris panjang,berdiri berderet deret berdasarkan urutan abjad nama.Suasana riang gembira kerana akan naik pangkat dan menerima tunggakan gaji.Aku dan keluarga mereka menumpang bahagia.Mereka bersorak sorai tiap kali nama keluarganya dipanggil Tuan Penyelia.

Akhirnya ,sampai juga panggilan ke urutan nama J.Aku berdiri melambai lambai pada ayah seperti ketua kumpulan sorak.Satu persatu nama berawalan J dikumandangkan di mikrofon sampailah pada yang duduk di sebelah ayah.Dia sempat mengepalkan tinjunya tinggi tinggi kerana riang tak terkata.Setelah itu,ayah bersiap siap seperti pelari pecut hendak melepaskan diri.Namun,ayah terkejut kerana nama yang dipanggil berikutnya bukan nama ayah,tetapi nama orang yang disebelahnya.Ayah tertegun dan bingung.Orang yang disebelah ayah bersorak girang,melintasi ayah berlari ke pentas.Nama yang dipanggil selepas itu juga bukan nama ayah,demikian juga yang selepas itu.Ayah berkelip menyaksikan satu persatu rakan melewati kerusinya.Nama terus dipanggil,masih juga tak terdengar nama ayah.Sampai pada abjad yang berawalan dengan Z,nama ayah juga tiada.

Kesudahannya,tinggallah ayah berdiri bersendirian di baris kerusi.Menoleh ke kiri dan kanan,menyaksikan orang yang berbisik bisik sambil memandang susuk tubuh ayah.Ayah ku lihat bersahaja dan masih berdiri kalau kalau ada yang memanggil namanya.Sejurus itu pembesar suara dipadamkan.Baru ku lihat ayah tunduk sambil membetulkan poket busjaketnya.Aku tahu hatinya hancur.Dadaku sesak,bergetar menahan airmata.Tak tertanggung rasanya jiwaku melihat ayah.Tiba tiba ayah berjalan menuju rakan rakannya sambil menyalami mereka satu persatu mengucapkan selamat.Begitu besar jiwa manusia ini.Rakan rakannya sambil bergelak ketawa menepuk nepuk bahu ayah sambil secara perlahan,aku menjadi beku di tempatku berdiri.

Malamnya,Tuan Penyelia datang ke rumah memohon maaf dan memberitahu telah berlaku kekeliruan pada bahagian pentadbiran kerana terlalu ramai yang dinaikkan pangkat.Tuan Penyelia juga memberitahu bahawa peraturan syarikat ada menyebut bahawa kuli yang tak bersijil memang tak akan pernah naik pangkat.Ayah,dengan penuh rasa hormat menerima semua itu.Malah beliau masih mengucapkan terima kasih pada Tuan Penyelia kerana telah mengirimnya surat dengan cop terhormat dari syarikat dan Tuan Penyelia sendiri yang menandatanganinya.

Aku tak dapat menahan rasaku.Air mata berlinang saat mengintai ayah mengucapkan semua itu.Walau dari balik pintu,aku tahu makna ketulusan wajah ayah.Sungguh bening hati lelaki pendiam ini,dan pada detik itu aku berjanji pada diri sendiri untuk meletakkan ayah setinggi yang mungkin,dan juga aku bersumpah,aku bersumpah yang aku akan bersekolah setinggi tingginya,biar kemana sahaja akan aku turuti.Walau apa yang akan berlaku,semua itu hanya untuk seorang ayah.